“Malam Rindu Bayangan” – Penghargaan Buat Insan Seni, Jay Jay
“Seorang sahabat yang sangat berdedikasi, berbakat dan amat disenangi ramai,” ujar Dato’ Freddie ketika mengenang pemuzik dan rakan seperjuangannya, Jay Jay — atau nama sebenarnya Mohd Fauzi bin Darus — yang telah kembali ke rahmatullah pada 4 Ogos 2024 dalam usia 67 tahun.
Pemergian Jay Jay bukan sahaja dirasai oleh keluarga dan sahabat terdekat, malah turut meninggalkan kesan mendalam kepada para peminat serta penggiat seni tanah air. Sebagai mengenang jasa, sumbangan dan kenangan manis yang ditinggalkan Allahyarham sepanjang penglibatannya dalam industri muzik, satu acara istimewa bakal dianjurkan — “Malam Rindu Bayangan” — sebuah persembahan penghargaan dan amal yang menyatukan rakan-rakan seperjuangan Jay Jay dari pelbagai era.
Satu Malam, Seribu Kenangan
Acara ini dicetuskan atas permintaan anak bongsu arwah, Nur Camelia atau lebih dikenali sebagai Cammy, yang telah menghubungi Dato’ Freddie untuk menyuarakan hasrat agar diadakan satu persembahan khas buat ayahandanya. Menyahut seruan itu, para karyawan seni dan rakan-rakan Allahyarham telah berganding bahu menganjurkan malam penuh kenangan ini.
“Malam Rindu Bayangan” dijadualkan berlangsung pada:
Tarikh: Ahad, 11 Mei 2025
Masa: 8.00 malam
Tempat: Grand Ballroom, Grand Barakah Hotel, Ampang
Majlis ini akan berlangsung selama tiga jam, dalam bentuk persembahan amal berserta makan malam, menampilkan barisan artis legenda dan sahabat rapat arwah yang pernah berkongsi pentas dan karya dengannya.
Barisan Artis Terkenal Tanah Air
Antara nama-nama besar yang akan membuat persembahan termasuk:
- Dato’ Ramli Sarip
- Dato’ Khatijah Ibrahim
- Dato’ Hattan
- Dato’ Jeffrydin
- Jatt (Black Dog Bone)
- Tam (Spider)
- Barisan asal kumpulan Carefree
- Jualan amal lukisan penghargaan hasil karya seni Fathullah Luqman (Spiral Kinetik Circus / Infectious Maggots) yang akan dijual secara bidaan.
- Penampilan khas saudara Tapa, pereka grafik yang banyak menghasilkan reka bentuk dan arahan seni untuk album Jay Jay sepanjang kariernya.
- Shuib (Freedom)
- Ramlah (balu kepada Allahyarham Yazit, pemain dram kumpulan Search)
- Ali (XPDC)
- Tempahan meja 10 orang: RM1,500 / RM3,000 / RM5,000 / RM10,000
- Tiket individu: RM150 sahaja (terhad kepada 100 tempat)
Pra-persembahan juga akan diserikan dengan suara merdu Hairee Kool dan Tengku Hadirah. Kesemua artis akan diiringi oleh pemuzik profesional dan maestro seperti Nan Saturnine, Rafi Gong, Ujang (Exist), dan Firdaus.
Lebih Dari Sekadar Persembahan
Malam tersebut bukan sekadar pentas persembahan, tetapi juga semua kutipan hasil malam amal ini akan disumbangkan kepada rakan-rakan artis yang memerlukan bantuan dari segi kewangan dan sokongan moral.
Sebagai simbolik awal, pada sidang media acara ini yang diadakan pada Khamis, 17 April 2025, pihak penganjur telah menyampaikan sumbangan kepada tiga penerima utama.
Jemputan Untuk Semua Rakyat Malaysia
Orang ramai, khususnya peminat setia Jay Jay dan barisan artis yang terlibat, dijemput hadir dan memberi sokongan.
Sokongan boleh disalurkan melalui:
Ini adalah peluang unik untuk menyaksikan gabungan artis tersohor negara, sambil menikmati sajian makan malam dalam suasana penuh kasih dan kenangan terhadap seorang insan seni yang amat disayangi.
Untuk tempahan, tajaan, atau pertanyaan lanjut:
Sila hubungi Dato’ Freddie di talian 012-2071400
“Jangan lepaskan peluang untuk bersama kami dalam malam penuh kasih, kenangan dan penghargaan ini. Kami ingin seluruh rakyat Malaysia turut sama mengenang insan seni yang pernah menjadi suara generasi kita semua,” ujar Dato’ Freddie menutup bicara.
Comments
Post a Comment