Biomass Sawit Dijulang Sebagai Pemacu Ekonomi Lestari di Persidangan Antarabangsa KL

Kuala Lumpur Jadi Tumpuan Dunia – Persidangan Antarabangsa Biomass Sawit Ke-5 Buka Peluang Baharu Industri Lestari





Kuala Lumpur, 14 April 2025 – Lebih 25 pakar industri, penyelidik ternama dan pemimpin dasar dari seluruh dunia berhimpun di Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur sempena Persidangan Antarabangsa Ke-5 Biomass Sawit yang berlangsung dari 14 hingga 15 April.


Dengan tema “Mencipta Kekayaan Berpotensi daripada Biomass Sawit”, persidangan anjuran Akademi Pengeksport Malaysia ini menampilkan pendekatan unik melalui perbincangan panel interaktif yang menggantikan pembentangan kertas kerja tradisional.


Persidangan ini menghimpunkan peserta dari pelbagai negara, termasuk Nigeria, membuktikan daya tarikan global Malaysia dalam bidang teknologi lestari dan ekonomi hijau.


Antara topik utama yang dibincangkan termasuk inovasi dalam penukaran biomass kepada produk bernilai tinggi, teknologi ‘waste-to-wealth’, strategi pengkomersialan, peluang pelaburan, serta kerjasama awam-swasta dalam mempercepatkan pertumbuhan industri.


YB Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang mewakili YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani, dalam ucapan perasmiannya berkata:


“Adalah satu penghormatan besar bagi saya untuk menyampaikan ucapan hari ini mengenai satu topik yang bukan sahaja penting untuk Malaysia, tetapi juga untuk landskap tenaga boleh diperbaharui dunia — iaitu sektor biomass. Apabila dunia semakin beralih kepada penyelesaian tenaga mampan, biomass muncul sebagai pemacu utama dalam mengurangkan pelepasan karbon dan memacu ekonomi kitaran.”


Beliau menekankan bahawa industri sawit telah lama menjadi tonggak pertumbuhan ekonomi Malaysia. Malah, pada tahun 2024, Malaysia telah mengeksport 1.27 juta tan Palm Kernel Shells (PKS) ke Jepun dan Thailand untuk penjanaan tenaga, manakala eksport pelet kayu melonjak 31% kepada 1.13 juta tan, memenuhi permintaan dari Jepun, Korea Selatan dan Belanda.


“Industri biomass Malaysia bukan sekadar menjana pendapatan eksport, tetapi juga meletakkan negara di barisan hadapan dalam peralihan kepada dunia yang lebih bersih dan hijau.”


YB Datuk Chan turut berkongsi kejayaan inisiatif tempatan, termasuk pemasangan biomass boiler oleh Nestlé Malaysia di kilang Chembong, Negeri Sembilan, yang menjimatkan pelepasan karbon sebanyak 14,000 tan CO₂ setahun. Beliau juga memuji usaha Samling Group yang mendirikan kilang TreeOne Megapellet di Bintulu walaupun menghadapi cabaran pandemik.


Namun begitu, beliau turut menggariskan beberapa cabaran yang dihadapi industri biomass, termasuk jurang pelaburan dan dasar, kos operasi tinggi serta keperluan untuk memenuhi piawaian kemampanan antarabangsa.


Sebagai respons, Kementerian Perladangan dan Komoditi telah melaksanakan beberapa inisiatif strategik:


  1. Pelan Tindakan Biomass Kebangsaan (2023–2030)
  1. Pelaburan dalam Teknologi Waste-to-Energy
  1. Pengeluaran Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) bermula 2026
  1. Pemantapan Integriti Rantaian Bekalan melalui sistem pengesanan oleh MPOB
  1. Promosi Amalan Biomass Bertanggungjawab dan Mampan



“Dengan mengubah biomass kepada nilai ekonomi, kita bukan sahaja mengurangkan sisa tetapi juga mewujudkan ekonomi inklusif yang mampan, memberi manfaat kepada petani, komuniti dan alam sekitar,” jelas beliau lagi.


“Marilah kita berani dalam idea, bekerjasama dalam usaha, dan teguh dalam komitmen terhadap kelestarian. Bersama, kita boleh membuka potensi penuh sumber biomass sawit Malaysia dan membina masa depan yang lebih hijau dan mampan.”


Beliau seterusnya merasmikan Persidangan Antarabangsa Biomass Sawit Ke-5, yang dijangka menjadi pemangkin kepada perubahan besar dalam industri biomass, bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat global.


Comments