PESONA HAEL HUSAINI “JAMPI” MINGGU FESYEN MILAN & PARIS 2025
KUALA LUMPUR, 26 Januari 2025 – Penyanyi, komposer dan ikon fesyen Malaysia juga bintang
Rocketfuel Entertainment, Hael Husaini baharu-baharu ini mengejutkan dunia fesyen antarabangsa dengan kehadiran istimewanya di Milan & Paris Fashion Week FW25. Tampil bergaya dan penuh karisma, Hael menjadi sorotan di beberapa pertunjukan fesyen jenama mewah seperti Dolce & Gabbana, Emporio Armani, Zegna, Amiri dan juga Kenzo yang rata- ratanya dikuasai oleh kehadiran selebriti terkenal dunia. Ini merupakan kali keempat Hael di jemput secara ekskusif ke pertunjukan fesyen di Eropah.
Gaya Memukau Di Dolce & Gabbana
Hael memulakan pengembaraan fesyennya di Milan dengan kehadiran di pertunjukan fesyen Dolce & Gabbana. Tampil dalam rekaan elegan dan berani, Hael sempat beraksi di hadapan lensa kamera dan media dengan gayanya yang mempesonakan. Tidak hanya bergaya, dia juga dilihat bergaul mesra bersama selebriti dan pelakon terkenal Korea, antaranya Jung Hae-in, Nam Yoon-su dan Noh Sang-hyun. Momen ini telah mencuri tumpuan dan menjadi perbualan hangat di kalangan peminat fesyen di seluruh dunia.
Pertemuan Eksklusif Bersama Giorgio Armani
Tidak cukup dengan itu, Hael turut berkesempatan menghadiri pertunjukan fesyen jenama Emporio Armani, di mana beliau bertemu dengan pereka fesyen legenda, Giorgio Armani. Sebagai seorang artis yang berdedikasi, Hael tidak dapat menyembunyikan rasa kagumnya terhadap pereka fesyen ikonik ini.
“Bertemu dengan Giorgio Armani adalah satu pengalaman yang tidak ternilai. Beliau adalah seorang maestro dalam dunia fesyen yang telah memberi impak besar dalam landskap fesyen antarabangsa. Saya merasa sangat bertuah dapat berjumpa dengannya dan belajar tentang dedikasi serta visi beliau dalam dunia seni," kata Hael dengan penuh rasa teruja.
Malam Glamor Di Zegna, Bertemu Mads Mikkelsen
Hael kemudian melangkah ke pertunjukan fesyen Zegna yang glamor, di mana beliau berpeluang bertemu dengan pelakon Hollywood terkenal, Mads Mikkelsen. Berada di samping personaliti seperti Mads, Hael semakin menyerlah sebagai figura yang memikat dalam dunia fesyen antarabangsa dengan stailnya tersendiri.
Dari Milan ke Paris: Hael Terus Bersinar Selepas menawan pentas minggu fesyen Milan, Hael meneruskan momentum di Paris dengan menghadiri pertunjukan fesyen eksklusif jenama mewah Amiri. Di acara ini, Hael dilihat bergambar bersama personaliti ternama termasuk Ed Westwick (bintang siri Gossip Girl), Sunwoo (The Boyz), Jespipat Tilapornputt dan pelakon terkenal Thailand, Bible Sumetikkul.
Tidak berhenti di situ, Hael terus melangkah bergaya di pertunjukan fesyen Kenzo di mana beliau duduk sebaris dengan ikon fesyen Filipina, Heart Evangelista, dan rapper antarabangsa, NLE Choppa. Hael mencuri perhatian dengan gaya uniknya yang serasi dengan jenama yang menekankan keaslian dan keberanian dalam ekspresi diri.
Hael Husaini: Dari Penyanyi Ke Ikon Fesyen Global
Selain dikenali sebagai penyanyi dan komposer yang berbakat, Hael kini semakin mencipta nama sebagai seorang ikon fesyen. Kehadirannya di Milan & Paris Fashion Week FW25 tidak hanya membawa perhatian media fesyen, tetapi juga memberi inspirasi kepada banyak generasi muda untuk mengejar impian mereka dan menampilkan diri dengan keyakinan. Hael bukan sahaja menjadi contoh kepada artis Malaysia, tetapi juga kepada peminat fesyen global.
“Ini bukan hanya tentang penampilan, tetapi peluang untuk menunjukkan bahawa Malaysia
mempunyai bakat yang boleh bersaing di peringkat dunia, tidak kira dalam muzik atau fesyen,” ujar Hael dengan penuh semangat.
Persiapan Rapi Menuju AJL39
Selain mencipta nama di pentas fesyen antarabangsa, Hael kini giat membuat persiapan untuk Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39), di mana perancangannya telah mencapai tahap 70% siap. "Saya ingin memberikan persembahan yang benar-benar ikhlas dan bermakna. Ini adalah
peluang untuk saya berkongsi cerita melalui muzik dan memberi yang terbaik kepada peminat,"
ujar Hael penuh dedikasi.
Inspirasi Generasi Muda
Dengan penampilan yang memukau dan pesonanya yang menyerlah, Hael Husaini membuktikan bahawa impian besar memerlukan usaha keras, ketekunan dan keberanian untuk kehadapan. Kehadirannya di Milan & Paris Fashion Week FW25 tidak hanya membanggakan negara tercinta, tetapi juga memberi inspirasi kepada anak muda untuk berani mengejar impian mereka dan tampil penuh keyakinan!
#haelhusaini
Comments
Post a Comment