MY GAYA MONTH DI PELANCARAN KEMPEN BELI BARANGAN MALAYSIA

My Gaya Month’ di Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2024 




Malaysian Bumiputra Designers Association (MBDA), dengan sokongan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2024 pada 8 Oktober yang lalu di Pavillion Damansara. 

Kempen yang berlangsung selama sebulan ini telah dirasmikan oleh YBhg Dato’ Seri Sayuthi bin Bakar, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup. Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kualiti barangan buatan tempatan yang mampu bersaing dengan produk antarabangsa serta menggalakkan rakyat Malaysia untuk terus menyokong produk keluaran negara.

Inisiatif KBBM 2024 bertumpu kepada beberapa objektif utama:

1. Meningkatkan Kesedaran dan Keyakinan Rakyat Malaysia.
Barangan buatan Malaysia adalah berkualiti dan mampu menyaingi produk dari luar negara.
2. Memupuk Patriotisme
Menanamkan semangat cinta negara melalui pembelian dan penggunaan barangan tempatan.
3. Merangsang Pembangunan Ekonomi
Menggalakkan ekonomi negara melalui sokongan kepada perniagaan dan produk tempatan.
4. Menyokong Pereka dan Pengusaha Tempatan
Meningkatkan kreativiti dan mutu produk tempatan melalui kolaborasi antara syarikat tempatan dan
kerajaan.
5. Selaras dengan aspirasi Malaysia Madani
Menekankan pada nilai-nilai seperti kemampanan, kesejahteraan, dan tanggungjawab sosial.
Kempen ini juga mendorong penggunaan produk yang beretika yang menyumbang kepada
pembangunan mampan dan kesejahteraan sosial. Ia juga memupuk rasa cinta kepada negara. Rakyat lebih menghargai hasil usaha anak tempatan dan menyokong pertumbuhan jangka panjang ekonomi negara secara inklusif dan adil.

6. Memperkukuh Kelestarian dalam Industri Fesyen bersama MBDA. MBDA turut menggalakkan amalan perniagaan lestari dalam kalangan ahli-ahli serta pihak industri, memastikan kelestarian menjadi asas dalam perkembangan industri fesyen untuk masa depan yang
lebih mampan. Dato’ Seri Mohd Sayuthi menekankan kepentingan menyokong industri tempatan dalam menghadapi cabaran global. KBBM dilihat sebagai langkah strategik bagi mengukuhkan ekonomi negara melalui sokongan terhadap industri tempatan, terutamanya dalam sektor kreatif dan pembuatan negara.



Sebagai sebahagian daripada usaha MBDA dalam mempromosikan perniagaan lestari, MBDA juga
berusaha untuk menarik minat pelancong domestik dan luar negara. Dengan menonjolkan kreativiti dan
kepelbagaian rekaan fesyen tempatan yang berteraskan kelestarian. Kami yakin dapat mewujudkan
peluang baharu untuk industri pelancongan, sekali gus memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi
fesyen yang unik dan berdaya maju di peringkat global.


Ini merupakan kali yang keempat KPDN bekerjasama dengan MBDA untuk menjayakan KBBM. Dato’ Seri Sayuthi turut mengalu-alukan perlantikan Dato’ Indera Tom Abang Saufi sebagai Penaung baru MBDA.







“Dengan pengalaman serta kepakaran beliau yang luas dalam industri fesyen, saya yakin Dato’ Indera Tom akan membawa MBDA ke tahap yang lebih tinggi dan mencapai kejayaan yang lebih gemilang'' ujar beliau. Beliau juga mengharapkan dengan adanya aktiviti seperti ini, Ia sekali gus melahirkan usahawan baharu sambil melatih graduan fesyen dari akademi-akademi tempatan dalam industri fesyen.

Selain pertunjukan fesyen oleh tiga puluh pereka fesyen tempatan acara-acara lain juga diadakan selama sebulan, termasuk Forum Fesyen & Perniagaan, melukis batik,
tutorial tudung dan sebagainya. Beliau juga mengharapkan dengan adanya aktiviti seperti ini ianya akan meningkatkan pengeluaran usahawan yang lebih kreatif selari dengan peningkatan teknologi dan penggunaan media sosial masa kini.


Pemilik Masterpiece by Masrina Abdullah, Puan Masrina bersama anak beliau antara pelukis dan pengusaha batik menyertai kempen ‘My Gaya Month’ 2024


Antara pempamer batik kali ini merupakan pemenang Piala Seri Endon iaitu Masterpiece By Masrina. Beliau mengetengahkan baju batik ‘bolero’ yang boleh digayakan dengan pelbagai jenis baju dan tampak kasual tetapi penuh gaya. Batik kasual seperti ini yang perlu diketengahkan kepada masyarakat Malaysia supaya batik juga boleh digayakan setiap hari di mana juga bukan sahaja di acara rasmi. 

Kempen ini juga akan dipromosikan melalui pelbagai platform media digital bagi menarik perhatian dan sokongan daripada rakyat Malaysia, khususnya generasi muda yang semakin peka dengan perkembangan 
teknologi.

Dengan adanya kempen seperti KBBM, ia bukan sahaja memberi peluang kepada pereka tempatan untuk mempersembahkan hasil karya mereka, ia juga meningkatkan keyakinan pengguna terhadap barangan  
tempatan.Kerajaan yakin dengan kerjasama yang berterusan antara sektor awam dan swasta,
industri tempatan akan terus berkembang dan memberikan impak positif kepada ekonomi negara.


Comments