USAHAWAN PENIAGAWATI MALAYSIA DAN IWAPI INDONESIA AKAN LAKSANAKAN PROGRAM RAKERNAS

Usahawan PENIAGAWATI Malaysia Dan IWAPI Indonesia Jalin Kerjasama Laksanakan Program RAKERNAS 



Persatuan Peniagawati merujuk kepada sebuah organisasi atau persatuan yang terdiri daripada wanita-wanita yang terlibat dalam bidang perniagaan. Di Malaysia, persatuan ini secara rasmi dikenali sebagai "Persatuan Wanita Bumiputera dalam Perniagaan dan Profesyen Malaysia" (PENIAGAWATI). 


Persatuan ini ditubuhkan untuk menyokong dan memperkasa wanita Bumiputera yang berkecimpung dalam bidang perniagaan dan profesion. Ia menyediakan platform untuk ahli-ahlinya berkongsi pengetahuan, pengalaman, dan sumber daya, serta menawarkan latihan, bimbingan, dan peluang jaringan. Tujuan utama persatuan ini adalah untuk memajukan kedudukan wanita Bumiputera dalam sektor ekonomi dan profesional.


Manakala Pertubuhan IWAPI pula merujuk kepada “Ikatan Wanita Pengusaha Indonesia,” yang merupakan sebuah organisasi yang didedikasikan untuk memberdayakan wanita-wanita pengusaha di Indonesia. Didirikan pada tahun 1975, IWAPI bertujuan untuk mendukung dan memperkuat peranan wanita dalam sektor bisnis dan kewirausahaan.


Misi dan matlamat penubuhan kedua duanya hampir sama. Oleh itu, satu jalinan kerjasama antara keduanya telah dijalankan. Satu majlis rasmi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Ikatan Wanita Pengusaha Indonesia (IWAPI) dan Persatuan Wanita Bumiputera Dalam Perniagaan dan Profesyen (Peniagawati) telah diadakan dengan penuh kemegahan di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 2024. 


Majlis bersejarah ini telah disaksikan oleh Bapak Hermono, Duta Besar Republik Indonesia, yang juga memegang peranan sebagai Dewan Pembina IWAPI Perwakilan Malaysia.




MoU tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Umum IWAPI Perwakilan Malaysia, Datin Nany Rusyamsi, dan Presiden Peniagawati, YBhg. Dato' Emmy Suraya Hussein, dengan disaksikan oleh Ketua Umum IWAPI Pusat, Ibu Nita Yudi, serta barisan EXCO Peniagawati yang turut hadir bagi memeriahkan majlis.


IWAPI, yang diasaskan pada 10 Februari 1975 oleh Prof. Kemala Motik dan Dr. Dewi Motik Pramono, M.Si., merupakan sebuah organisasi yang komited dalam memajukan pengusaha wanita di Indonesia melalui pelbagai jaringan, latihan, dan program pemberdayaan. Sejak penubuhannya, IWAPI telah berkembang pesat daripada beberapa orang pengusaha wanita kepada lebih daripada 30,000 ahli di seluruh Indonesia.


Peniagawati, yang didaftarkan pada 24 Mac 1980, terus mengukuhkan kedudukannya sebagai persatuan utama yang mewakili usahawan wanita Bumiputera di Malaysia. Sepanjang sejarah penubuhannya, Peniagawati telah berjaya memainkan peranan penting dalam meningkatkan taraf usahawan wanita Bumiputera dan memperkukuhkan penyertaan mereka dalam pembangunan negara. Kepimpinan kesemua Presiden Peniagawati, walaupun dengan gaya yang berbeza, telah berjaya membawa persatuan ini ke arah visi yang sama, iaitu menjadi sebuah persatuan yang mampu meningkatkan taraf hidup usahawan wanita Bumiputera.




Majlis menandatangani MoU ini bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan kerjasama antara kedua-dua organisasi dalam usaha memperkasakan wanita usahawan di Indonesia dan Malaysia melalui program jaringan niaga, padanan perniagaan, serta pertukaran budaya. Program Rapat Kerja Nasional (RAKERNAS) IWAPI yang akan berlangsung pada 23 hingga 24 September 2024 di Sunway Putra Hotel, Kuala Lumpur, dijangka akan menarik kehadiran seramai 1,000 usahawan wanita Indonesia dari 36 provinsi.




Sebanyak 100 gerai pameran akan disediakan, termasuk jenama-jenama terkemuka dari Indonesia seperti Sari Ayu, Wardah, dan lain-lain, di samping penyertaan usahawan tempatan dari Malaysia. Usahawan dari pelbagai sektor seperti kecantikan, kesihatan & spa, makanan sedia dimakan, fesyen, dan lain-lain akan mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka sepanjang dua hari acara ini berlangsung. Program ini terbuka kepada orang awam dan kami amat mengalu-alukan sokongan daripada agensi kerajaan serta pelbagai pihak yang berkepentingan.



Melalui sinergi perniagaan yang terbentuk antara kedua-dua negara ini, diharapkan dapat meningkatkan jaringan perniagaan, mengembangkan peluang perniagaan, serta memperkukuhkan hubungan antara dua negara, sekali gus memperluaskan lagi kerjasama ke arah pertukaran budaya dan keusahawanan yang lebih erat di masa hadapan.



Pihak yang berminat untuk menyertai pameran ini adalah dipelawa untuk menghubungi pihak penganjur.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Pn. Nida Hamid, Timbalan Presiden 2, Peniagawati di 012 280 9919 / Sekretariat di 012 638 2572 atau email ke peniagawati@gmail.com




Comments