PERASMIAN “PETALING JAYA INTERNATIONAL FOLKLORE FESTIVAL 2025” SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-18 BANDARAYA PETALING JAYA

PERASMIAN “PETALING JAYA INTERNATIONAL FOLKLORE FESTIVAL 2025” SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-18 BANDARAYA PETALING JAYA



Sejak diiktiraf menjadi Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 20 Jun 2006, pelbagai pembangunan pesat telah berlaku seiring dengan pembangunan teknologi terkini. 

Pada tahun ini, "Petaling Jaya Bandar Paling Bahagia" diangkat menjadi tema untuk Sambutan Ulang Bandaraya Petaling Jaya Ke-18.

MBPJ telah menerima Anugerah Bandar Paling Bahagia 2024 sempena Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia (Happiness Index) Peringkat Kebangsaan yang bertemakan “Bahagia Bersama Malaysia MADANI”.

MBPJ komited dalam mempertingkatkan usaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan berusaha mencetuskan dan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk kesejahteraan warga bandar raya Petaling Jaya.

Oleh itu, bagi menghargai warga Petaling Jaya dan sempena sambutan ulang tahun bandaraya, sebanyak 37 aktiviti dan program dilaksanakan sepanjang bulan Jun 2024 bagi mengeratkan hubungan di antara MBPJ dengan warga Petaling Jaya. Selain itu, objektif perlaksanan aktiviti ini adalah untuk menggalakkan penyertaan dari semua peringkat komuniti.

Kemuncak acara tersebut akan diadakan pada hari Sabtu 29 Jun ini jam 8 malam dengan Majlis Perasmian Ulang Tahun Petaling Jaya 2024 dan Promosi “Petaling Jaya International Folklore Festival 2025” di Laman MBPJ, Jalan Yong Shook Lin, Petaling Jaya.

Pertandingan perarakan merupakan salah satu pengisian acara kemuncak Hari Ulang Tahun Bandaraya Petaling Jaya Ke-18. Dalam perarakan itu, sebanyak dua kategori akan dipertandingkan iaitu kategori Majlis Perwakilan Penduduk dan kategori terbuka yang melibatkan penglibatan agensi-agensi kerajaan, badan korporat dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Hampir 400 orang peserta akan menyertai perarakan dengan jumlah keseluruhan 13 penyertaan untuk merebut tempat pertama yang menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 berserta sijil dan plak. Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000 dan RM1,000 beserta sijil dan plak.

Acara kemuncak ini akan diserikan lagi dengan persembahan kebudayaan dan nyanyian oleh artis tanah air seperti Fahimi, Victoria Ng, Santesh, Black Mentor, Aisha Retno dan pertunjukan bunga api.

MBPJ mensasarkan untuk menjadikan Petaling Jaya sebagai sebuah bandaraya berdaya tahan yang berkebolehan menguruskan kemampanannya bagi mendepani gangguan dan kejutan terhadap alam sekitar, komuniti dan ekonomi. Selaras dengan matlamat tersebut, pembangunan mampan untuk jangka masa panjang disediakan MBPJ iaitu "Petaling Jaya Pintar, Mampan dan Berdaya tahan 2030 (Petaling Jaya Smart, Sustainable & Resilient 2030 - PJSSR)".

Petaling Jaya dirancang menjadi sebuah bandaraya “a next generation city” yang inklusif, terhubung, kolaboratif, berekologi, sihat, dinamik, berteknologi digital dan menjadi bandar raya berdaya tahan yang berkebolehan menguruskan kemampanannya bagi mendepani gangguan dan kejutan terhadap alam sekitar, komuniti dan ekonomi.

Pada 20 Jun, MBPJ telah menawarkan perkhidmatan percuma kepada orang awam khususnya warga Petaling Jaya seperti tempat letak parking (on street parking), penggunaan kemudahan kolam renang, padang dan gelanggang sukan, 500 keahlian Perpustakaan Komuniti, 1000 anak pokok dan abate (ubat jentik-jentik). Selain itu, MBPJ juga telah membuka kaunter bayaran, kaunter semakan dan juga pameran kepada orang ramai.

Antara pengisian lain sepanjang bulan ini termasuk PJ Berselawat (27 Jun), Sukan Komuniti (29 Jun), Sumbangan PJ Prihatin (29 Jun), dan PJ Tower Run (30 Jun). Larian Menara MBPJ setinggi 25 tingkat dengan 552 anak tangga ini menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM 10,000 serta penampilan khas Soh Wai Ching, pelari menara nombor satu negara.

Selari dengan visi MBPJ untuk menjadikan Petaling Jaya sebagai sebuah bandaraya pintar, mampan, berdaya tahan dan dinamik menjelang tahun 2025, diharapkan sambutan ulang tahun ini dapat memperkukuhkan lagi usaha tersebut dan menggalakkan penglibatan seluruh komuniti dalam merealisasikan visi ini.

Jom kita bersama-sama memeriahkan acara-acara yang telah disusun sepanjang bulan ini. Pasti Meriah! 

Acara akan bermula jam 8 malam dan dijangka selesai jam 11 malam. 




Comments