Majlis Menyambut Maulidur Rasul 1445H Padat Dengan Misi Kasih Sayang Dan Perjuangan Sunnah Rasulullah SAW
Majlis Menyambut Maulidur Rasul 1445H Padat Dengan Misi Kasih Sayang Dan Perjuangan Sunnah Rasulullah SAW
Kuala Lumpur - Majlis Maulidur Rasul 1445H pada kali ini di Galeri Raudhah, Ampang Ukay disambut meriah dengan penganjuran kali ini diisi dengan pelbagai program bagi memberi peluang orang ramai mengenali lebih dalam susuk manusia teragung, Nabi Muhammad SAW.
Majlis Grand Maulidurrasul yang telah diadakan pada 28 September 2023 menyaksikan beberapa program menarik, antaranya ialah konvoi motosikal berkuasa tinggi, kereta antik dan juga helikopter yang berselawat bersama sama mengiringi barangan peribadi milik Rasulallah SAW yang dikenali sebagai Perarakan Konvoi Kembara Kasih. Konvoi ini berjaya dilaksanakan bermula dari Galeri Raudhah di Ampang Ukay dan seterusnya ke Dataran Merdeka dan Dataran Putrajaya. Konvoi seterusnya kembali ke Galeri Raudhah bagi mengakhiri misi konvoi tersebut.
Majlis bermula pada jam 9 pagi dengan perlumbaan qasidah kategori kanak-kanak, remaja dan dewasa, dan kategori warga emas diikuti dengan pertandingan melukis kubah hijau.
Acara kemuncak pada sebelah petang bermula jam 2.30 petang dengan perarakan lebih 100 buah kereta antik dan motosikal berkuasa tinggi dari Ampang ke Putrajaya dan kembali semula ke Ampang.
Sebelum perarakan bermula, gema alunan selawat ke atas baginda Rasulullah SAW dialunkan, sebagai tanda kasih kepada baginda, selain bagi memberkati perjalanan majlis.
Menurut pengasas Galeri Raudhah, Ustaz Md Zawawi Bin Ramli, program ini bertujuan mengajak semua masyarakat bersatu padu, hidup bahagia, harmoni, berkasih sayang dan saling bantu membantu.
"Kita mahu hidupkan amalan sunnah berkasih sayang seperti ditunjukkan baginda Nabi SAW. Kita mahu orang ramai tahu, betapa indahnya hidup berkasih sayang cara nabi, seorang pencinta agung.
"Kita mahu masyarakat hidup dengan Ikuti semua sunnah Baginda Nabi SAW dalam seluruh aspek kehidupan termasuk berkasih sayang, dalam pergaulan, bersahabat, makan minum, sunnah dalam berkeluarga dan sebagainya.
" Sama-samalah kita perbanyakkan membaca sirah nabi, ikuti dan hayatilah ia. Paling mudah, banyakkan berselawat, semoga kita mendapat syafaat baginda dan mendapat rahmat Allah SWT. Keampunan Allah adalah kemuncaknya keredhaan Allah SWT," katanya.
"Banyak aktiviti yang sesuai untuk semua peringkat umur. Datanglah, lapangkan waktu, sama-sama kita gemakan alunan selawat untuk junjungan besar nabi kesayangan kita, Rasulullah SAW.
"Mudah-mudahan, dengan usaha kecil ini, dapat menjentik hati kita untuk melihat betapa indahnya sunnah nabi jika diamalkan dalam kehidupan seharian. Tenang dapat, pahala pun dapat insya Allah," katanya.
Majlis telah disempurnakan perasmiannya oleh Adun Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, atau lebih dikenali sebagai Altimet.
Galeri Raudhah juga mengalu alukan kehadiran pengunjung ke situ jika berkelapangan untuk melihat sendiri tinggalan beliau dan artifak yang ada dan merasa dekatnya kita dengan RasulAllah SAW yang sangat kita cintai.
#galeriraudhah
Comments
Post a Comment