KONSERT DAVID FOSTER BERTARAF DUNIA OLEH PRIHATIN GEGARKAN MEGA STAR ARENA
KUALA LUMPUR, 7 Ogos 2023 – Setelah kejayaan penganjuran konsert “Rossa 25th Shining Concert” yang mendapat sambutan meriah di Kuala Lumpur pada November yang lalu, Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) sekali lagi mengambil inisiatif menganjurkan konsert “Hitman: David Foster & Friends Asia World Tour 2023” yang berlangsung di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur. Konsert eksklusif ini merupakan anjuran PRIHATIN yang menampilkan komposer muzik terkemuka dunia, David Foster bersama barisan penyanyi antarabangsa seperti Michael Bolton, Peabo Bryson, Loren Allred, Katharine McPhee serta penyanyi nombor satu tanah air iaitu Dato’ Sri Siti Nurhaliza.
Konsert yang menyaksikan gandingan hebat penyanyi terkemuka di Malaysia bersama komposer dan pemuzik terkenal bertaraf antarabangsa ini bukan sahaja dilihat berpotensi tinggi untuk mengukuhkan nama Malaysia di persada antarabangsa dan mengeratkan lagi hubungan antara Malaysia dengan negara luar, malah secara tidak langsung dana kebajikan untuk memperkasakan pendidikan dalam kalangan pelajar yang memerlukan dapat dikumpul melalui penganjuran konsert amal berskala antarabangsa oleh PRIHATIN.
Menurut Dato’ Sri Siti Nurhaliza, beliau amat bersyukur dan merasa bertuah kerana diberi peluang dan kesempatan untuk berganding bersama pemuzik dan komposer terkenal itu. “Saya pernah berkolaborasi bersama David Foster pada sembilan tahun yang lalu, dan Alhamdulillah, doa saya untuk bergandingan sekali lagi dengan beliau di atas satu pentas yang sama telah dimakbulkan,” ujar Siti. “Saya juga berasa gembira dan amat berterima kasih kepada para peminat kerana sentiasa memberikan sokongan penuh kepada saya dan sudi menyumbang untuk dana kebajikan di Malaysia melalui Yayasan Prihatin Nasional. Terima kasih juga kepada PRIHATIN dan B De Paris atas kerjasama yang sangat memberangsangkan dalam penghasilan konsert ini bagi membolehkan rakyat Malaysia memberi sumbangan secara tidak langsung bagi membantu mereka yang memerlukan,” ujar Figura Nombor Satu Negara itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin, Dato’ Mohd Aizuddin Ghazali berkata, “Penganjuran Konsert David Foster & Friends yang menampilkan Dato’ Sri Siti Nurhaliza ini bakal memberi manfaat buat pelajar Malaysia yang kurang berkemampuan untuk mengurangkan beban kos sara hidup di kampus.
PRIHATIN amat proaktif dalam menjalankan program-program bersifat kebajikan, terutamanya dalam memperkasakan pendidikan Malaysia ke aras yang lebih tinggi di persada dunia. Saya teruja kerana diberi peluang untuk menganjurkan konsert ini yang bukan hanya bersifat komersial semata-mata tetapi turut menekankan konsep ‘Berhibur Sambil Beramal’ dan saya amat bersyukur dengan penglibatan semua artis yang bersetuju untuk sama-sama mencari dana melalui jualan tiket, seterusnya menyalurkan sebahagian hasil jualan untuk tujuan kebajikan. PRIHATIN turut berterima kasih kepada pihak korporat, selebriti dan juga orang ramai yang memberi sokongan penuh melalui pembelian tiket, sekaligus memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan.”
Turut hadir memeriahkan konsert ini YAM Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri-Ayatuddin Al Mustafa Billah Shah, YABhg. Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah binti Mohd Noor (Isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang), YAM Tunku Zain Al-Abidin Ibni Tuanku Mukhriz (Putera DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan), YAM Tunku Sharifah Khatreena Nuraniah Tuanku Syed Faizuddin Putra (Puteri kepada DYMM Pemangku Raja Perlis), YAB Datuk Seri Ab Rauf bin Yusoh (Ketua Menteri Melaka), YB Dato’ Sri Azalina Othman (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Undang-Undang & Reformasi) Hawa Rizwana, Nabil Ahmad, Diana Rafar, Sissy Iman dan Fazli Zainal.
#hitman#prihatin
Comments
Post a Comment